KUIH KERIA ISTIMEWA


Anda sukakan kuih keria? 

Kuih keria juga dikenali dengan nama kuih gelang adalah sejenis kuih tradisional Melayu. Adunannya berasaskan keledek dengan campuran tepung, gula dan garam. Ia dicanai dan dibentuk seperti cincin ataupun gelang tangan. Itulah sebabnya ia dipanggil kuih gelang. Kebiasaannya, kuih ini disaluti dengan gula mahupun cairan gula semasa menggoreng.

Ia sesuai dihidang ketika sarapan dan waktu minum petang.

BAHAN-BAHAN PENYEDIAAN ( 20 biji keria comel )

500gram ubi keledek putih
150 gram tepung gandum
3/4 cawan gula 
Sedikit garam
Sedikit air

CARA PENYEDIAAN

  1. Ubi keledek dibersihkan dan direbus hingga empuk.
  2. Sesudah empuk toskan air rebusan dan kulit ubi keledek dibuang 
  3. Tambahkan garam dan lenyek sampai hancur sementara ubi masih panas.
  4. Biarkan sementara menunggu ubi betul-betul sejuk.
  5. Apabila sudah sejuk, masukkan tepung gandum dan uli sehingga sebati.
  6. Adunan dibentuk seperti gelang dan bolehlah di goreng.
  7. Setelah siap digoreng, masak gula bersama air dalam kuali yang lain. Didihkan gula tadi hingga pekat. Apabila hampir kering, masukkan kuih tadi dan kacau hingga rata. Kacau sehingga gula nampak bertali baru api dapur ditutup
  8. Sesudah itu, kacau lagi sehingga gula tadi kering dan kuih dan tidak melekat.


Selamat mencuba

Comments